Setiap tahun, tepatnya tanggal 12 Rabiulawal, majoriti umat Islam akan memperingati Maulidul Rasul (hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W). Walau tidak ada nash yang sahih untuk memperingati hari kelahiran baginda, namun memahami sejarah perjuangan dan dakwah baginda selama 23 tahun menyebarkan agama Islam adalah suatu yang penting.
Rasulullah s.a.w adalah suri teladan kita. Baginda digelar sebagai The Living Quran (Quran Hidup). Hal ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh isteri baginda, Aisyah r.a, " Akhlak Rasulullah adalah al-Quran." (HR Abu Dawud dan Muslim).
Sejak kecil Nabi Muhammad s.a.w hidup dalam kemiskinan dan kesderhanaan. Rumah baginda terletak di samping sebelah timur Masjid Nabawi, sangat kecil. Atapnya rendah diperbuat dari pelepah kurma yang dapat disentuh dengan tangan kerana rendahnya.
Di dalam rumah baginda hampir tidak ada perabot. Yang nampak hanyalah bejana tempat minum yang diperbuat dari kayu keras yang dipateri dengan besi dan sebuah baju besi yang biasa dipakai oleh baginda ketika berperang. Tempat tidur baginda selembar tikar dari anyaman pelepah kurma.
Pernah seorang sahabat menawarkan tempat tidur yang lebih layak bagi seorang rasul Allah. Namun baginda menjawab, " Apalah ertinya dunia bagiku....bukankah engkau rela mereka memperoleh dunia sedangkan kita memperoleh akhirat?" Begitulah gambaran kesederhanaan Rasulullah yang tidak silau dengan gemerlapnya harta.
Rasulullah s.a.w. juga sangat rendah hati. Walaupun menjadi seorang pemimpin agung, baginda tidak mahu disanjung dan dihormati serta dipuji-puji.
Anas bin Malik r.a berkata, " Para sahabat yang mahu berdiri menyambut kehadiran Rasulullah, tidak jadi berdiri, ketika tahu bahawa Rasulullah tidak mahu dihormati seperti itu." (HR Ahmad).
Walaupun baginda sibuk dengan pekerjaannya, tapi apabila mendengar azan, baginda segera ke masjid. Belum pernah Rasulullah sembahyang di rumah kecuali sembahyang sunat. Sifat Rasulullah yang lain ialah mudah berkomunikasi, berlaku sopan, lemah lembut, sabar, tidak pernah marah walau disakiti, namun wajah baginda akan berubah merah padam apabila melihat kemungkaran atau hak-hak Allah diinjak-injak dan dihina.
Sehingga, tidak hairanlah Allah sendiri memujinya " Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah." (Surah al-Ahzab 33; 21)
sumber : majalah i
"MUSLIMAH SOLEHAH"
No comments:
Post a Comment